Sunday, 27 February 2011

Damia dan Pembelajarannya

Damia Uzma memang seorang yang manja sungguhpun dia agak lasak. Aku hanya dapat bertemu dengannya pada hari Sabtu dan Ahad sahaja (kecuali jika ada cuti am) namun beliau tetap mahu aku memanjakannya. Umur Damia kini hampir mencecah 6 tahun namun dia masih aku mendukungnya sekali-sekala. Aku tidak kisah kerana bukan selalu dapat menghabiskan masa dengan anakku ini. Pun begitu aku tidak mahu Damia menjadi spoilt child. Jadi aku tetap menghukumnya kalau dia nakal. Baharu-baharu ini aku mem'puk' punggungnya kerana dia terlalu nakal. Tapi cuma sekali sahajalah kerana aku tahu Damia akan menjadi baik selepas itu. Tapi mungkin untuk sejam dua sahajalah. Haha!

Baharu-baharu ini ibunya meminta aku mengajar Damia untuk spelling bagi menghadapi ujian. Aku tidak tahu sama ada Damia ada belajar di rumah atau tidak namun melihatkan perkembangannya dalam mengeja agak perlahan dan kini seolah-olah tidak berminat untuk belajar, aku menjadi sangat bimbang. Aku seboleh-bolehnya tidak mahu mempunyai prasangka terhadap ibunya tetapi aku tetap berperasaan sebegitu. Aku berasakan bahawa Damia lebih banyak berkomunikasi dengan televisyen daripada manusia. Bukti yang amat nyata adalah Damia masih mempunyai masalah untuk bercakap dalam bahasa Melayu dengan baik tetapi English-nya sangat lancar dan mempunyai American accent.

Aku tidak kisah jika anakku tidak cemerlang dalam akademik apabila dewasa kelak, tetapi jika Damia tidak cemerlang kerana tidak dipupuk minat dalam belajar, ianya adalah suatu tragedi bagi kedua ibu bapanya yang berpelajaran tinggi. Lebih-lebih lagi ibunya adalah seorang pensyarah.

Beratnya sayang abah ni....


Friday, 24 September 2010

What Happened To Your House?

Damia sekarang agak peramah sikapnya berbanding dahulu. Beliau nampaknya cukup berkeyakinan dengan diri sendiri. Namun kadang-kadang keyakinan yang ditunjukkan olehnya adalah bersifat nakal dan degil. Aku bagaimanapun amat suka bila melihat beliau berani berinteraksi dengan orang yang lebih tua daripadanya. Menggunakan bahasa English pula tu! Cuma kadang-kadang cara anak mat salleh bercakap di tv adalah kurang sesuai digunakan di sini. Contohnya perkataan 'hey'.

Ada suatu peristiwa berlaku di mana ketika aku membawanya bersama untuk melihat rumah sewa. Tuan punya rumah tersebut sebenarnya berasa agak keberatan untuk menyewakannya kerana rumah tersebut hanya digunakan untuk setor sahaja. Namun untuk memuaskan hatiku beliau menunjukkan juga rumah tersebut. Rumah tersebut memang agak kotor, berdebu dan mula berkulat di lantai parquee (betul ke aku eja ni?) kerana kurang diselenggarakan. Damia dengan selamba memberikan komen seperti "Eee.. tak cantik rumahnya" dan kemudian bertanya terus kepada tuan rumah tersebut "Hey, what happened to your house?". Tergelak kami mendengarnya. Mujurlah tuan rumah tersebut adalah kenalan rakanku dan tak ambil hati dengan Damia.


Ini adalah gambar Damia dan anak jiranku Rina yang diambil pada 2/5/2007. Mereka pada masa itu cukup akrab. Namun Rina sudah besar sekarang dan agak segan dengan semua orang. Lagipun Damia juga jarang berada di Ipoh. Mungkin suatu hari nanti mereka akan kembali akrab.

Kecik Pampersnya

Anakku Damia bukan main lagi fasih bila bercakap English. Mendengarkan slanganya aku mengagak bahawa beliau mempelajarinya daripada televisyen. Namun bila bercakap bahasa Melayu pula, slanganya berbunyi macam orang putih bercakap. Tunggang terbalik pula tu. Selalu aku tergelak mendengarnya. Antara perkara yang menjadi masalah bagi Damia ialah menggunakan perkataan 'nya' untuk kesesuaian ayat.

Ada sekali tu ibuku memakaikannya pampers untuk tidur. Namun pampers tersebut ialah yang bersaiz kecil iaitu pampers semasa beliau masih kecil. Damia berasa tidak selesa dan beliau terus memberikan komennya "Kecik pampersnya!" Tergelak kami semua. Walaupun penggunaan ayat tersebut adalah tepat, namun bila Damia mula berkata "Banyak orangnya" atau "Besar gajahnya", aku dah terperasan bahawa beliau menggunakannya seperti format bahasa English juga. Tapi aku taklah berasa risau sangat. malah aku berharap agar bahasa English Damia akan terus menjadi bertambah baik dan begitu juga bahasa Melayunya.



Gambar ini diambil pada 29/4/2007 ketika aku membawa Damia bermain-main di Tesco Ampang Kuala Lumpur. Beliau agak takutkan budak-budak yang bermain di situ kerana mereka semua nampak agresif. Jadi Damia pergi bermain di suatu sudut yang agak terpencil dan kurang dilawati oleh kanak-kanak lain.

Tuesday, 14 September 2010

Mengeja nama familiku

2/5/2007 - Ini adalah kali pertama Damia balik ke Ipoh selepas aku berpisah. Beliau cukup gembira bila aku membawanya ke tempat permainan di Jusco Ipoh. Pelbagai jenis permainan ingin dicuba olehnya. Pada masa itu beliau sangat rapat dengan adik bongsuku, Affandi. Namun semenjak kebelakangan ini, Damia lebih rapat dengan adikku Arip. Mungkin sebab Fandi tidak dapat selalu bertemu dengannya.

Namun pada masa ini Damia agak renggang dengan kakak dan ibuku. Aku berasa agak risau juga. Jadi aku berusaha sedaya-upayaku untuk selalu mempertemukannya dengan keluarga di sebelahku. Kali pertama Damia dapat menyebut dengan tepat nama ibuku berbanding dengan opahnya di sebelah satu lagi, aku berasa sangat gembira. Malah Damia terlebih dahulu tahu mengeja 'abah' berbanding dengan 'umi' yang setakat ini masih gagal dieja olehnya. Aku berasa agak tak patut juga kerana tidak mengajarnya mengeja perkataan tersebut. Namun bagiku, adalah lebih baik Damia dipasakkan dengan pengetahuan tentang ahli keluargaku terlebih dahulu berbanding dengan hal-hal yang lain. Lagipun beliau diajar untuk mengeja nama 'khairul' iaitu boyfriend (sekarang dah jadi suami) mak su Amelianya terlebih dahulu dari nama 'abah'. Jadi salahku jugakah?


"Dalam perjalanan ke rumah ibuku. damia panggil Pak Chu's house"


"Di Jusco, Ipoh. Permainan pertama yang Damia mahu main"



"Damia gayat ketika bermain gelungsur."



"Damia berasa panas. Jadi dia minta abah membuka bajunya"


"Memang selamba anakku ini"

Damia di KLCC

Ini adalah kali pertama aku membawa Damia berjalan ke tempat jauh iaitu pada 15/4/2007. Ini adalah hadiah sempena hari lahirnya yang jatuh pada 5/4/2007. Aku bersama adikku membawanya ke KLCC. Damia benar-benar berasa seronok dan gembira. Beliau bermain dengan hampir semua permainan yang ada di sana. Kopak poketku. Namun ianya berbaloi. Aku berasakan bahawa inilah juga kali pertama Damia menaiki tren aliran transit ringan. Mungkin bila Damia sudah besar sedikit, aku akan membawanya ke Aquaria pula.

"Di stesyen LRT Setiawangsa"

"Di stesyen LRT KLCC"

"Barney ni adalah favouritenya"

"Damia nak cuba hampir semua permainan"

Berpuasa dengan Damia 2010

Ini ialah kali pertama aku dapat berpuasa dengan anakku untuk tahun 2010. Adikku Arip juga menyertai kami kerana beliau tidak lagi bekerja ikut waktu syif pada hari Sabtu dan Ahad. Seperti biasa, Damia cukup suka duduk di atas meja untuk menunjukkan rasa protesnya kerana aku memaksanya makan terlebih dahulu sebelum bermain. Apa nak buat, kerana beliau belum memahami konsep berbuka puasa lagi. Bila aku tanya Damia sama ada beliau berpuasa pada hari ini, sambil mengunyah nasi goreng beliau menganggukkan kepala. Haha!

Damia dan Aidilfitri 2010

Sudah lama aku tak masuk entry. Al-maklumlah raya dah dekat dan bila dah raya aku cuti beraya sakan. Hehee...

Pada raya tahun ini aku cuma dapat menghabiskan masa dengan Damia selama 2 hari sahaja iaitu pada raya pertama dan kedua. Namun gunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk menghabiskan masa yang berkualiti dengan anakku itu. Pada raya yang pertama Damia cuma banyak menghabiskan masanya di televisyen atau komputer sebab terlalu ramai tetamu yang berkunjung ke rumah ibuku. Namun pada raya kedua, kami sekeluarga pergi ke Taiping, Nibong Tebal dan Bukit Mertajam bersama Damia. Di Taiping Damia begitu seronok bertemu tunang adikku Affandi manakala di Nibong Tebal pula beliau dapat berjumpa dengan aunty Nia yang sangat dirinduinya.

Di Bukit Mertajam pula, aku dan familiku membawa Damia bermain sepuas-puas hati di Jusco Perda. Beliau begitu seronok sekali sehingga berasa sangat sedih ketika aku menghantarnya kembali ke pangkuan ibunya. Aku pun berasa sangat sedih juga kerana sering melukakan hati anakku di hari yang sepatutnya ceria ini...

"Abah dan Damia"


"Opah dan Damia"


"Mak Long dan Damia"


"Pak Lang dan Damia"


"Pak Cu dan Damia"